LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan seramai 15 pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa kawasan penempatan sekitar pulau ini, awal pagi Rabu.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi selama dua jam yang bermula tengah malam dan berakhir sekitar jam 3.30 pagi itu menyasarkan beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing.
Katanya, hasil serbuan berjaya membawa kepada penahanan 15 warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki, enam wanita dan enam kanak-kanak berumur antara empat hingga 77 tahun.
“Semua PTI ini disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan kemudiannya ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Labuan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Raymond berkata, JIM akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PTI di wilayah ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), khususnya terhadap pihak yang melindungi atau menggaji PTI secara haram,” katanya.