PPM Sabah tumpas penyelewengan minyak subsidi dan rampasan bernilai RM478,062
23:06 Jun 12, 2025  |  By SabahKini2
PPM Sabah tumpas penyelewengan minyak subsidi dan rampasan bernilai RM478,062

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan juga berjaya menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan haram itu bagi membantu siasatan lanjut.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi melibatkan rampasan diesel, petrol dan minyak masak bernilai RM478,062 dalam dua serbuan berasingan di Labuan dan Semporna, baru-baru ini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan juga berjaya menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan haram itu bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah gudang di Labuan pada jam 3.40 petang, pasukan menemukan sejumlah besar bahan kawalan yang disimpan secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan menemukan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi minyak diesel serta sembilan tangki IBC yang berisi kira-kira 8,500 kilogram minyak masak.

“Sebanyak 2,600 liter minyak diesel turut dirampas dalam serbuan itu, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM370,324. 

“Seorang individu turut ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, dalam serbuan berasingan di kawasan Kampung Batu, Semporna, pasukan PPM Semporna dengan kerjasama PPM Lahad Datu berjaya merampas dua bot serta 153 tong berisi minyak petrol.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM107,738.50 dan dua individu turut ditahan dalam operasi ini.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan menyimpan bahan kawalan tanpa kebenaran sah,” katanya.

Beliau menegaskan pihak PPM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Comment