LAHAD DATU: Wartawan merupakan rakan penting bagi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang berperanan sebagai penghubung maklumat antara pasukan keselamatan dengan komuniti maritim.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos mengakui, sumbangan besar komuniti wartawan dalam menyebarkan maklumat tepat berkenaan isu keselamatan di Sabah, terutamanya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
"Harapan saya semoga kerjasama antara wartawan dengan ESSCOM akan terus berkekalan kerana media sebagai rakan ESSCOM, memainkan peranan penting menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan," katanya.
Beliau berkata, wartawan juga berfungsi sebagai "lidah" pasukan keselamatan dalam memastikan kesejahteraan dan keamanan komuniti maritim di pantai timur Sabah terus terpelihara.
"Semoga rakan media terus bertambah maju dan dapat menyampaikan fakta dan juga coretan yang menarik serta memberikan sumber inspirasi kepada masyarakat," katanya.
Victor berkata, penulisan wartawan berupaya menggambarkan situasi sebenar serta tahap keselamatan di Sabah, khususnya di wilayah timur dan mengakui menerusi artikel yang menarik, ia mampu mendorong kemasukan pelancong domestik mahupun antarabangsa.
Bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut setiap 29 Mei, Victor turut merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media.
"Selamat menyambut HAWANA kepada semua wartawan, saya hargai peranan wartawan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan bantuan rakan media selama ini," katanya.
Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", sambutan tahun ini bermula esok dengan Karnival HAWANA 2025 yang akan berlangsung di ruang legar Sunway Putra Mall di ibu negara dari 10 pagi hingga 10 malam, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran pada 3 petang.
Majlis kemuncak pada Sabtu ini akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 petugas media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana menampilkan pelbagai acara termasuk forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.
Dalam perkembangan lain, Victor turut memaklumkan bahawa tiada kes penculikan dilaporkan sejak 2020, dan ESSCOM terus mempergiatkan kawalan keselamatan bagi memastikan ESS Zone sentiasa selamat.